Selasa, 2 Januari 2018

Jihad Fisabilillah?.


Image result for BISMILLAH
Apa itu perjuangan Jihad Fisabilillah?.



Abuya Sheikh Imam Ashaari Muhammad at-Tamimi, dalam bukunya bertajuk AQIDAH MUKMIN I telah mentakrifkan erti perjuangan jihad fisabilillah (dalam waktu aman) adalah sebagaimana berikut:-

 Perjuangan jihad fisabilillah ialah perjuangan yang bernar-benar kerana ALLAH dan untuk ALLAH semata-mata. Ianya benar-benar satu jihad menegakkan agama ALLAH dan hukum-hakam ALLAH samada melibatkan yang Wajib, yang Sunat, yang Makruh mahupun yang Haram. Mana-mana hukum yang Harus diperjuangkan agar menjadi ibadah.

 (Bagaimana perkara-perkara yang Harus boleh menjadi ibadah kepada kita?. Seperti makan, minum, bekerja, tidur, safar, dll.
Iaitu ia mesti menepati tentang 5 Syarat berikut - Niat, Perkara, Perlaksanaan, Natijah dan Amalan Asas tidak boleh ditinggalkan.
Sila rujuk ‘5 Syarat-Syarat Ibadah’ untuk lebih maklum).
Perjuangan yang dibangunkan itu pula tidak boleh atas dasar hendak berkuasa dan memerintah, atas dasar hendakkan pangkat dan nama, atas dasar hendak menegakkan bangsa, atas dasar hendak menghapuskan kezaliman (walaupun disuruh) dan lain-lain.
Kalau kita berjuang dan berjihad atas salah satu daripada maksud di atas, perjuangan kita itu sia-sia sahaja. Belum lagi digolong sebagai jihad fisabilillah.
Kalau kita berjuang atas dasar kebangsaan sahaja, Rasulullah SAW ada mengingatkan kita di dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Tidak ada fahaman kebangsaan di dalam ajaran Islam”.
Fahaman kebangsaan adalah fahaman yang sempit yang akan mengajak manusia bergaduh, kerana masing-masing ada bangsa. Perjuangan demikian hanya akan mencetuskan puak-puak.
Kemudian Rasulullah bersabda lagi, “Bukan daripada golongan kami, orang yang berjuang kerana kebangsaan”.
Sebenarnya, kalau kita berjuang kerana menegakkan agama, bangsa akan terbela dengan sendirinya. Tetapi kalau kita berjuang membangunkan bangsa, agama akan dicuaikan. Hingga kerana itu, bangsa belum tentu dapat dibangunkan, agama sudah hancur berkecai. Kemungkinan besar fahaman kebangsaan dalam perjuangan itu akan mengambil-alih fahaman berjihad kerana agama.
Begitu jugalah dengan perjuangan menegakkan agama melalui konsep kapitalisme, sosialisme, sistem demokrasi terbuka@berpilihanraya dan sebagainya. Semuanya merupakan perjuangan yang tidak tepat untuk dinilai sebagai fisabilillah.

Inilah yang perlu kita awasi. Walaupun dalam berjuang itu, macam api keluarnya ayat-ayat Al Quran dan Hadis, tetapi kerana perjuangan tidak tepat, orang yang berjuang begini bolehlah kita katakan sebagai telah memperalatkan Al Quran dan Hadis untuk mencapai matlamatnya. Dan bagi kita pula, tidak seharusnya terpengaruh dengan perjuangan sedemikian. Ia bukan digolongkan sebagai jihad fisabilillah!.

Jihad fisabilillah yang sebenarnya adalah jihad yang setiap inci perjuangan tepat dengan kehendak ALLAH, yakni kehendak Al Quran dan Sunnah.

AL Quran dan Sunnah itu mesti dilaksanakan pada semua peringkat. Bukan pada negara sahaja tetapi juga di dalam diri sendiri, di dalam rumahtangga, di dalam masyarakat, di dalam pendidikan, di dalam ekonomi, di dalam politik, dan seterusnyalah hingga kepada persoalan alam sejagat.


Kemudian perlaksanaannya juga mesti betul hingga syariat lahir dan batin dijaga betul-betul. Kalau semuanya tepat mengikut kehendak Al Quran dan Sunnah, itulah yang dinamakan jihad fisabilillah, dan sekiranya orang yang berjuang itu mati dibunuh atau terbunuh, insya-Allah nilainya adalah sebagai syuhada ALLAH. Baharulah jisimnya dikekalkan oleh ALLAH SWT.

Malangnya, ada di kalangan pejuang-pejuang Islam pada akhir zaman ini, semacam beria-ria benar berjuang hendak menegakkan agama ALLAH dalam negara tetapi diri sendiri dicuaikan, anak isteri masih mendedah aurat, dia terlibat dengan maksiat dan mungkar. Pejuang-pejuang begini telah mempersempitkan persoalan agama kepada aspek negara sahaja.
  
Sedangkan Islam itu bukan untuk negara sahaja tetapi untuk semua aspek dan semua bidang. Dan semua bidang itu mesti diperjuangkan samada mengenai aqidah, ibadah, perjuangan dan jihad, ekonomi, pendidikan, rumah tangga, politik dan seterusnya hingga kepada persoalan negara dan hubungan alam sejagat.

Kemudian yang diperjuangkan itu pula mestilah bermula daripada alif, ba, ta (dari peringkat rendah, yakni bina iman dahulu), bukan terus melompat hingga ke hujung.
  
Demikianlah kata-kata Ustaz Ashaari Muhammad, yang saya kira amat jelas dan terang sekali akan maksud ‘Jihad Fisabilillah’. Tidak ramai ulama yang boleh memperkatakan hal demikian, lebih-lebih lagi sekarang ini ramai yang sudah tidak berkecuali. Sudah berpihak kepada parti-parti politik tertentu. Samada terikut-ikut dengan kumpulan ramai, iman tidak teguh atau tidak ada ilmu/minda yang relevan dengan zaman muktahir ini.

 Itu baharu kita memperkatakan akan pengertian jihad fisabilillah.

 Belum lagi kita membicarakan tentang tujuan perjuangan itu sendiri!.

 Sebab orang zaman sekarang sudah tidak faham lagi akan maksud mereka berjuang. Mereka cenderung mengikut akal-akalan dan nafsu mereka semata. 

 Sebab apabila iman sudah tidak ada/tipis, nafsu sudah menguasai hati, akal sudah tidak berfungsi untuk berfikir dengan sempurna. Maka berlakulah kemungkaran kerana, “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”.

 Di sini suka saya mengutip sebuah madah bertajuk ‘Tujuan Berjuang’ dari Majalah ‘Alim untuk renungan bersama.



TUJUAN BERJUANG

Tujuan berjuang kerana hendak mengenalkan Tuhan Pencipta alam
Agar disanjung, dicintai, disembah dan dijadikan idola                        
Selepas itu hendak kenalkan syariat-Nya untuk keselamatan manusia

Agar manusia hidup bersatu, bekerjasama, harmoni dan bahagia

Berjuang bukan kerana ekonomi, membangun dan berkemajuan

Ia merupakan sampingan sahaja, kalau boleh dijadikan untuk Tuhan

Berjuang mengajak manusia membesarkan Akhirat
Mengingatkan manusia, Akhirat tempat akhir buat insan

Di sana tempat kekal abadi

Sama ada di Syurga mahupun di Neraka

Itulah tugas-tugas para daie, mubaligh-mubaligh dan ulama

Mengajak manusia menyembah Tuhan

Jalan dan caranya itulah syariat-Nya

Jangan membesarkan Tuhan atau menyembah-Nya dengan cara yang kita reka-reka

Sekalipun yakin betul tapi tersesat jalannya

Ingin kepada Tuhan jalannya telah dinyatakan dan dijelaskan

Kalau jalannya mengikut cara sendiri tidak sampai kepada-Nya

Hari ini dakwah dan ceramah merata negara

Mercup tumbuhnya macam cendawan tumbuh di musim hujan

Tapi isinya politik dan unsur-unsur yang membawa pergaduhan

Tuhan tidak dikenalkan, jauh sekali untuk disanjung dan dibesarkan

Ini bukan pendakwah tapi pendakyah

Ia bukan fisabillah

Tapi jalan yang sudah tersalah

Ini bukan hendak menari redha Allah

Tapi mencari bala dan dosa serta Neraka.



Allah mahu kita semua bersatu.
Kemenangan tidak akan dicapai jika kalian masih berbeza-beza hala tuju.
Matlamat Jihad Fisabilillah hanyalah satu.
Jangan sesekali kalian keliru.

Hendaklah kamu sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal soleh) serta bertaqwalah kamu kepadaNya, dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna, dan janganlah kamu tergolong dalam mana-mana golongan orang musyrik.
(Quran ; Surah Ar-Rum : ayat 31)

Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya.
(Quran ; Surah Ar-Rum : ayat 32)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan