Jumaat, 13 Mac 2015

Azan dan Iqamat




Azan (أَذَان) adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh penganut agama Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya orang-orang Mukmin boleh diseru supaya bergesa berkumpul untuk mengerjakan solat fardu. Iqamatbermaksud sebutan tertentu untuk memberitahu para jemaah untuk mula mengerjakan solat.


Latar belakang

Dari segi bahasa, azan bermaksud ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Azan ialah suatu gabungan perkataan-perkataan tertentu untuk menandakan waktu solat fardu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu solat. Penandaan ini dibuat dengan melaungkan dengan lafaz-lafaz tertentu.

Hukum

Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan sembahyang fardhu. Melaungkan azan juga adalah satu Fardu Kifayahbagi sesuatu kumpulan, dan tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan satu sunat aini atau, dan pahala sunat akan diperolehi apabila seseorang itu melakukannya. Bagi kaum wanita, disunatkan melakukan Iqamat sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara mereka.

Dalil

Al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijmak menyatakan melaungkan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada Al-Quran ialah Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah: 58)
Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadis. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sejarah

Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar RA. “Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.
Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah (kerana meniup serunai atau trompet dan memukul loceng adalah cara pemanggilan sembahyang bagi masyarakat Yahudi dan Nasrani (Kristian). Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul ini telah diterima oleh Rasulullah tetapi baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.
Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk memberitahu solat dengan mengumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi  memerintahkan Bilal bin Rabahmengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar datang kepada Rasulullah  dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid.
Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: “Rasulullah pada malam Israk telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibrilmendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s. Maka Allah SWT menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”..