Apa itu perjuangan Jihad Fisabilillah?.
Abuya Sheikh Imam Ashaari Muhammad at-Tamimi, dalam bukunya
bertajuk AQIDAH MUKMIN I telah mentakrifkan erti perjuangan jihad fisabilillah
(dalam waktu aman) adalah sebagaimana berikut:-
Perjuangan jihad
fisabilillah ialah perjuangan yang bernar-benar kerana ALLAH dan untuk ALLAH
semata-mata. Ianya benar-benar satu jihad menegakkan agama ALLAH dan
hukum-hakam ALLAH samada melibatkan yang Wajib, yang Sunat, yang Makruh mahupun
yang Haram. Mana-mana hukum yang Harus diperjuangkan agar menjadi ibadah.
(Bagaimana
perkara-perkara yang Harus boleh menjadi ibadah kepada kita?. Seperti makan,
minum, bekerja, tidur, safar, dll.
Iaitu ia mesti menepati tentang 5 Syarat berikut - Niat,
Perkara, Perlaksanaan, Natijah dan Amalan Asas tidak boleh ditinggalkan.
Sila rujuk ‘5 Syarat-Syarat Ibadah’ untuk lebih maklum).
Perjuangan yang dibangunkan itu pula tidak boleh atas dasar
hendak berkuasa dan memerintah, atas dasar hendakkan pangkat dan nama, atas
dasar hendak menegakkan bangsa, atas dasar hendak menghapuskan kezaliman
(walaupun disuruh) dan lain-lain.
Kalau kita berjuang dan berjihad atas salah satu daripada
maksud di atas, perjuangan kita itu sia-sia sahaja. Belum lagi digolong sebagai
jihad fisabilillah.
Kalau kita berjuang atas dasar kebangsaan sahaja, Rasulullah
SAW ada mengingatkan kita di dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Tidak ada
fahaman kebangsaan di dalam ajaran Islam”.
Fahaman kebangsaan adalah fahaman yang sempit yang akan
mengajak manusia bergaduh, kerana masing-masing ada bangsa. Perjuangan demikian
hanya akan mencetuskan puak-puak.
Kemudian Rasulullah bersabda lagi, “Bukan daripada golongan
kami, orang yang berjuang kerana kebangsaan”.
Sebenarnya, kalau kita berjuang kerana menegakkan agama,
bangsa akan terbela dengan sendirinya. Tetapi kalau kita berjuang membangunkan
bangsa, agama akan dicuaikan. Hingga kerana itu, bangsa belum tentu dapat
dibangunkan, agama sudah hancur berkecai. Kemungkinan besar fahaman kebangsaan
dalam perjuangan itu akan mengambil-alih fahaman berjihad kerana agama.
Begitu jugalah dengan perjuangan menegakkan agama melalui
konsep kapitalisme, sosialisme, sistem demokrasi terbuka@berpilihanraya dan
sebagainya. Semuanya merupakan perjuangan yang tidak tepat untuk dinilai
sebagai fisabilillah.
Inilah yang perlu kita awasi. Walaupun dalam berjuang itu,
macam api keluarnya ayat-ayat Al Quran dan Hadis, tetapi kerana perjuangan
tidak tepat, orang yang berjuang begini bolehlah kita katakan sebagai telah
memperalatkan Al Quran dan Hadis untuk mencapai matlamatnya. Dan bagi kita
pula, tidak seharusnya terpengaruh dengan perjuangan sedemikian. Ia bukan
digolongkan sebagai jihad fisabilillah!.
Jihad fisabilillah yang sebenarnya adalah jihad yang setiap
inci perjuangan tepat dengan kehendak ALLAH, yakni kehendak Al Quran dan
Sunnah.
AL Quran dan Sunnah itu mesti dilaksanakan pada semua
peringkat. Bukan pada negara sahaja tetapi juga di dalam diri sendiri, di dalam
rumahtangga, di dalam masyarakat, di dalam pendidikan, di dalam ekonomi, di
dalam politik, dan seterusnyalah hingga kepada persoalan alam sejagat.
Kemudian perlaksanaannya juga mesti betul hingga syariat
lahir dan batin dijaga betul-betul. Kalau semuanya tepat mengikut kehendak Al
Quran dan Sunnah, itulah yang dinamakan jihad fisabilillah, dan sekiranya orang
yang berjuang itu mati dibunuh atau terbunuh, insya-Allah nilainya adalah
sebagai syuhada ALLAH. Baharulah jisimnya dikekalkan oleh ALLAH SWT.
Malangnya, ada di kalangan pejuang-pejuang Islam pada akhir
zaman ini, semacam beria-ria benar berjuang hendak menegakkan agama ALLAH dalam
negara tetapi diri sendiri dicuaikan, anak isteri masih mendedah aurat, dia
terlibat dengan maksiat dan mungkar. Pejuang-pejuang begini telah
mempersempitkan persoalan agama kepada aspek negara sahaja.
Sedangkan Islam itu bukan untuk negara sahaja tetapi untuk
semua aspek dan semua bidang. Dan semua bidang itu mesti diperjuangkan samada
mengenai aqidah, ibadah, perjuangan dan jihad, ekonomi, pendidikan, rumah
tangga, politik dan seterusnya hingga kepada persoalan negara dan hubungan alam
sejagat.
Kemudian yang diperjuangkan itu pula mestilah bermula
daripada alif, ba, ta (dari peringkat rendah, yakni bina iman dahulu), bukan
terus melompat hingga ke hujung.
Demikianlah kata-kata Ustaz Ashaari Muhammad, yang saya kira
amat jelas dan terang sekali akan maksud ‘Jihad Fisabilillah’. Tidak ramai
ulama yang boleh memperkatakan hal demikian, lebih-lebih lagi sekarang ini
ramai yang sudah tidak berkecuali. Sudah berpihak kepada parti-parti politik
tertentu. Samada terikut-ikut dengan kumpulan ramai, iman tidak teguh atau
tidak ada ilmu/minda yang relevan dengan zaman muktahir ini.
Itu baharu kita memperkatakan akan pengertian jihad
fisabilillah.
Belum lagi kita membicarakan tentang tujuan perjuangan itu
sendiri!.
Sebab orang zaman sekarang sudah tidak faham lagi akan
maksud mereka berjuang. Mereka cenderung mengikut akal-akalan dan nafsu mereka
semata.
Sebab apabila iman sudah tidak ada/tipis, nafsu sudah
menguasai hati, akal sudah tidak berfungsi untuk berfikir dengan sempurna. Maka
berlakulah kemungkaran kerana, “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada
kejahatan”.
Di sini suka saya mengutip sebuah madah bertajuk ‘Tujuan
Berjuang’ dari Majalah ‘Alim untuk renungan bersama.
TUJUAN BERJUANG
Tujuan berjuang kerana hendak mengenalkan Tuhan Pencipta
alam
Agar disanjung, dicintai, disembah dan dijadikan idola
Selepas itu hendak kenalkan syariat-Nya untuk keselamatan
manusia
Agar manusia hidup bersatu, bekerjasama, harmoni dan bahagia
Berjuang bukan kerana ekonomi, membangun dan berkemajuan
Ia merupakan sampingan sahaja, kalau boleh dijadikan untuk
Tuhan
Berjuang mengajak manusia membesarkan Akhirat
Mengingatkan manusia, Akhirat tempat akhir buat insan
Di sana tempat kekal abadi
Sama ada di Syurga mahupun di Neraka
Itulah tugas-tugas para daie, mubaligh-mubaligh dan ulama
Mengajak manusia menyembah Tuhan
Jalan dan caranya itulah syariat-Nya
Jangan membesarkan Tuhan atau menyembah-Nya dengan cara yang
kita reka-reka
Sekalipun yakin betul tapi tersesat jalannya
Ingin kepada Tuhan jalannya telah dinyatakan dan dijelaskan
Kalau jalannya mengikut cara sendiri tidak sampai kepada-Nya
Hari ini dakwah dan ceramah merata negara
Mercup tumbuhnya macam cendawan tumbuh di musim hujan
Tapi isinya politik dan unsur-unsur yang membawa pergaduhan
Tuhan tidak dikenalkan, jauh sekali untuk disanjung dan
dibesarkan
Ini bukan pendakwah tapi pendakyah
Ia bukan fisabillah
Tapi jalan yang sudah tersalah
Ini bukan hendak menari redha Allah
Tapi mencari bala dan dosa serta Neraka.
Allah mahu kita semua bersatu.
Kemenangan tidak akan dicapai jika kalian masih berbeza-beza hala tuju.
Matlamat Jihad Fisabilillah hanyalah satu.
Jangan sesekali kalian keliru.
Hendaklah kamu sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal soleh) serta bertaqwalah kamu kepadaNya, dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna, dan janganlah kamu tergolong dalam mana-mana golongan orang musyrik.
(Quran ; Surah Ar-Rum : ayat 31)
Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya.
(Quran ; Surah Ar-Rum : ayat 32)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan